Terjemah al-Quran ke 30 lagi bahasa, kerajaan setuju beri dana

PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini bersetuju dengan permohonan oleh Yayasan Restu untuk dana tambahan bagi menterjemahkan al-Quran ke 30 lagi bahasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagaimanapun tidak menyatakan jumlah dana yang bakal disalurkan ke yayasan berkenaan untuk tujuan itu, selain menyatakan menyokong dan akan bekerjasama dengan Yayasan Restu.

Katanya, ketika ini Yayasan Restu sudah menterjemahkan al-Quran ke 30 bahasa dengan yang terkini membabitkan bahasa Russia.

“Peluncuran hari ini terjemahan ke-30, bahasa Russia dan kebetulan Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong sekarang berada di Russia, jadi ini suatu perkembangan yang sangat menggalakkan.

“Cadangan untuk menterjemah ke 30 bahasa lagi dan dia sebut ini kerana dia minta dana tambahan.

“Jadi tentunya untuk ikhtiar ini, saya bagi pihak Kerajaan MADAMI tentunya akan memberikan seluruh dukungan dan kerjasama,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Percetakan al-Quran dan Terjemahan Bahasa ke-30 (Bahasa Russia) serta Peluncuran Mushaf Ummah Al-Jami’ di Kompleks Nusyrul Quran, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa.

Perdana Menteri turut menunaikan solat Jumaat di Kompleks Nasyrul Quran selain melepaskan trak kontena mengandungi 20,000 naskhah al-Quran dan terjemahan ke bahasa Sepanyol dan Inggeris untuk dihantar ke Jannah Institute, California, Amerika Syarikat.

Sementara itu, Anwar berkata, penterjemahan al-Quran ke bahasa dunia lain itu adalah tindak balas awal terhadap insiden pembakaran al-Quran di Sweden.

“Kami berbincang dengan Yayasan Restu dan kerajaan dan kami bersetuju satu-satunya cara untuk bertindak balas adalah dengan memastikan mereka membaca dan memahami isi kandungan al-Quran.

“Tindakan yang bersifat impulsif atau berdasarkan kejahilan tidak akan menyelesaikan apa-apa. Jika anda membaca, anda akan faham. Maka, kita menggalakkan pemahaman dan keadilan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, pelancaran Mushaf Ummah al-Jami’ juga penting kerana ia hasil gabungan gabungan ilmiah pakar qiraat dari seluruh dunia yang diselia oleh ulama tersohor, Syeikh Dr Ahmad ‘Isa Al-Ma’sarawi yang juga Pengasas Yayasan al-Masarawi.

Dengan pelancaran mushaf itu, katanya, Malaysia kini menjadi antara negara terawal di dunia yang menerbitkan mushaf seumpamanya secara rasmi dan diiktiraf di peringkat antarabangsa. – BH

More From Author

RUU Pekerja Gig dibentang di Dewan Rakyat minggu depan

Buat komen jelik di media sosial, petani didenda RM15,000