KUALA LUMPUR: Liga Malaysia (Liga M) tampak masih ‘tertinggal’ dalam kelompok ‘Empat Gergasi ASEAN’ apabila menduduki tempat keempat dalam nilai pasaran liga profesional seperti dikongsikan laman sesawang bola sepak terkemuka, transfermarkt.com.
Liga Super Malaysia membabitkan saingan 13 pasukan bagi musim ini dianggarkan bernilai RM251 juta untuk meletakkan mereka di tangga keempat daripada sembilan liga profesional di rantau ini.
Liga Thailand jelas tidak mampu digugat apabila memiliki nilai pasaran tertinggi di benua ASEAN selepas transfermarkt.com meletakkan liga utama yang menampilkan 16 pasukan bertanding itu bernilai RM377 juta.
Mengekori rapat Liga Thailand adalah saingan Liga Super Indonesia dengan 18 pasukan yang bernilai RM352 juta.
Meskipun tidak memiliki pasukan yang bertanding di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) namun Liga 1 Vietnam berada pada kedudukan ketiga dengan nilai RM264 juta.
Hanya empat liga ini memiliki nilai pasaran dengan jumlah tiga angka sekali gus menyaksikan timbul jurang yang amat besar dengan lima lagi profesional yang turut dianjurkan di ASEAN.
Liga Premier Singapura yang hanya menampilkan lapan pasukan bertanding sekadar bernilai RM93 juta diikuti Liga Nasional Myanmar (12 pasukan) dengan RM85 juta.
11 pasukan yang bertanding dalam Liga Premier Kemboja menyaksikan mereka bernilai RM78 juta sementara Liga Bolasepak Filipina dengan 11 pasukan bernilai RM40 juta.
Liga 1 Laos yang menampilkan 10 pasukan sekadar bernilai RM23 juta manakala tiada data daripada transfermarkt.com untuk saingan Liga Super Brunei. – BH
