BRAZIL: Ikon Brazil, Neymar tidak dapat menahan air mata selepas mengalami kekalahan paling teruk dalam kariernya apabila Santos dibelasah 6-0 oleh Vasco da Gama, awal pagi tadi
Penyerang berusia 33 tahun itu kembali menyertai kelab lamanya, Santos, awal tahun ini selepas tempoh 18 bulan yang sukar di Arab Saudi bersama Al-Hilal akibat dibelenggu kecederaan.
Sejak kembali ke tanah air, Neymar meledak enam gol dan tiga bantuan jaringan dalam 19 perlawanan, namun Santos bergelut di tangga ke-15 liga utama Brazil dan hanya dua mata mengatasi zon penyingkiran.
Aksi menentang Vasco menjadi titik paling rendah apabila Philippe Coutinho – bekas bintang Liverpool – menjaringkan dua gol, disusuli jaringan Lucas Piton, David Correa de Fonseca, Rayan dan Danilo Neves untuk melengkapkan kemenangan besar 6-0.
Sebaik tamat perlawanan, Neymar dilihat menangis di padang sebelum ditenangkan staf kejurulatihan, dan kemudian menuju ke terowong sambil mengesat air mata dengan jersinya.
Kekalahan ini memadam rekod terdahulu sebagai kekalahan terburuk kariernya – pada tahun 2015 ketika Barcelona tewas 4-1 kepada Celta Vigo dalam aksi LaLiga.
“Saya malu, sangat kecewa dengan prestasi kami. Penyokong ada hak untuk protes, selagi tidak bertindak ganas. Jika mahu marah atau menghina, itu hak mereka.
“Ia perasaan malu yang melampau, saya tidak pernah mengalaminya sepanjang hidup. Malangnya ia berlaku. Air mata itu kerana marah, kerana segalanya. Saya tidak mampu membantu dalam semua aspek. Realitinya, ia memang teruk,” kata Neymar.
Kekalahan besar itu turut menyaksikan Santos mengambil tindakan drastik dengan memecat jurulatih utama, Cleber Xavier, dalam usaha menyelamatkan musim mereka.
Coutinho, yang baru kembali ke Vasco selepas dipinjamkan musim lalu, kini cuba menghidupkan semula kariernya bersama kelab zaman remajanya.
Selepas kekalahan memalukan itu, Santos kini hanya dua mata mengatasi Vasco dalam carta liga dan bakal berkunjung ke Bahia pada aksi seterusnya hujung minggu ini. – AGENSI
