KUALA LUMPUR: Tiga individu dipercayai pempengaruh berhubung penyebaran video yang memaparkan mereka memberi sisa makanan kepada seorang gelandangan telah dirakam keterangan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan, pihaknya pada masa sama turut menjalankan siasatan ke atas insiden yang disifatkan sebagai jelik melampau itu.
Jelasnya, perbuatan mereka sudah mencetuskan kemarahan serta kecaman meluas dalam kalangan warganet, selain menyentuh sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
“Sesi rakaman keterangan serta siasatan lanjut telah dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, Johor pada hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, MCMC juga menyita tiga unit telefon bimbit dan tiga keping kad SIM bagi membantu siasatan.
“MCMC akan terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif literasi digital melalui Kempen Internet Selamat (KIS), bagi membentuk masyarakat yang celik digital, beretika dan bertanggungjawab.
“Inisiatif ini turut menyemai budaya penciptaan kandungan yang berhemah, beretika dan beradab, selain meningkatkan kesedaran terhadap nilai-nilai murni dalam ekosistem digital negara,” katanya.
Terdahulu, tular sebuah video pendek memaparkan tindakan sekumpulan pempengaruh memberikan nasi bersama tulang ayam yang telah dimakan kepada seorang gelandangan, sebelum kemudiannya menyerahkan set makanan lengkap.
Kandungan tersebut menerima kecaman hebat daripada pelbagai pihak yang menganggap ia tidak beretika dan memperlekehkan maruah individu terbabit.
Tiga individu itu kemudiannya tampil memohon maaf atas tindakan mereka itu.
Salah seorang remaja terbabit mendakwa bahawa mereka sebenarnya telah mendapat persetujuan daripada lelaki gelandangan itu untuk merakam video berbentuk eksperimen sosial. – Majestic
