KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini menetapkan 31 Oktober depan bagi keputusan di akhir kes pembelaan untuk pertuduhan mengabaikan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin yang dihadapi ibunya, Ismanira Abd Manaf.
Tarikh itu ditetapkan Hakim Dr. Syahliza Warnoh susulan pihak pembelaan yang diketuai oleh Haresh Mahadevan mewakili Ismanira, 30, menutup kes mereka selepas lima saksi dipanggil bagi memberikan keterangan.
Saksi yang terakhir, doktor psikologi kanak-kanak, Dr. Noor Aishah Rosli, 49, selesai memberikan keterangannya hari ini.
Beliau turut menetapkan 8 September bagi hujahan bertulis daripada kedua-dua pihak, selain 22 Septermber bagi hujahan balas sebelum mahkamah membuat keputusan di akhir kes pembelaan pada 31 Oktober.
Sebelum ini pada 21 Julai lalu, Ismanira diarahkan untuk membela diri atas pertuduhan mengabai Zayn Rayyan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie ke atasnya manakala suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan terbabit.
Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari masing-masing berusia 30 tahun didakwa mengabaikan Zayn Rayyan, 6, dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan antara 12 tengah hari 5 Disember hingga 9.55 malam 6 Disember 2023.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 dan mayatnya ditemukan keesokan harinya di aliran anak sungai berhampiran rumahnya. – UTUSANTV
