Saya akan pantau, cuba selesaikan segera isu air – Tunku Mahkota Ismail

JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah akan memantau isu gangguan bekalan air yang dilaporkan semakin kerap berlaku di negeri ini.

Baginda bertitah demikian menerusi hantaran dalam akaun  X sebagai respons kepada pengguna yang meluahkan kekecewaan terhadap gangguan bekalan air di Pontian yang telah berlarutan sehingga hari keempat.

“Saya akan pantau dan cuba selesaikan dengan segera. Ini pentingnya kita jaga air Johor, aset Johor sendiri dan bukan berada di bawah syarikat yang dilantik oleh ‘federal’.

“Doakan kewangan negeri meningkat di mana kita boleh beli saham air Johor dan meletakkan air negeri di bawah jagaan kerajaan negeri. Insya-Allah,” titah baginda.

Setakat pukul 12 tengah hari tadi, hantaran berkenaan telah mencatat lebih 36,000 tontonan dengan 123 siaran semula dan 539 tanda suka.

Gangguan bekalan air di negeri ini semakin kerap dilaporkan termasuk insiden enam pam air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor rosak Mei lalu selepas dimasuki lumpur akibat banjir kilat sehingga menjejaskan lebih 155,000 akaun pengguna di Johor Bahru.

More From Author

ERA batal kerjasama dengan Syed Saddiq, bayaran kontrak tetap dilunaskan

Kes Zara Qairina: Setiausaha Politik KPDN buat laporan polis susulan fitnah di media sosial