KAJANG: Dua pelajar Tingkatan Satu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menampar seorang rakan sekelas dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di sini minggu lalu, yang rakaman video insiden itu kemudian tular.
Kedua-dua tertuduh berusia 13 tahun didakwa di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100.
Mereka dituduh berkelakuan tidak sopan dengan menampar seorang remaja lelaki berusia 13 tahun di tempat awam bagi tujuan mengganggu keamanan.
Pada prosiding tertutup kerana tertuduh masih di bawah umur, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Alia Safri, manakala kedua-dua pesalah juvana itu diwakili peguam, Lee Tee Kiat.
Mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan dikenakan sebelum pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 setiap seorang.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM500 setiap seorang dan menetapkan 18 September ini untuk laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum hukuman dijatuhkan.
Media sebelum ini melaporkan empat pelajar Tingkatan Satu ditahan Khamis lalu selepas didakwa memukul rakan sekelas di sebuah pusat beli-belah di Kajang pada pagi berkenaan sebelum mereka direman dua hari. – BH
