KOTA BHARU: Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk berjumpa dengan pelakon dan pelawak, Amir Raja Lawak atau nama sebenar Mohammad Amirullah Azmi, 36, hari ini.
Perdana Menteri berkunjung di kedai ayam goreng milik pelawak itu di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV pada jam 4 petang tadi.
Turut mengiringi kunjungan itu adalah Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Anwar bertemu dengan Amir selepas pelakon dan pelawak berkenaan semalam ada memuat naik status di Facebook yang mengharapkan kunjungan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada kunjungan berkenaan, Anwar turut bertanyakan khabar ayah kepada Amir yang kini berada di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan bertanya mengenai isu yang melanda pelawak itu.
Perdana Menteri dan Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Amir sebelum meninggalkan premis berkenaan.
Terdahulu, Perdana Menteri merasmikan Majlis Penutup Program Madani Rakyat (PMR) Kelantan di sini, hari ini.
