UMNO Iskandar Puteri sedia ‘bertarung’ dengan Amanah 

JOHOR BAHRU: UMNO Bahagian Iskandar Puteri sentiasa bersedia menentang Parti Amanah Negara (Amanah) yang berhasrat bertanding bagi merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Ketua Penerangannya, Datuk Abdul Aziz Sapian berkata, pihaknya bertekad mempertahankan kerusi itu walaupun terpaksa berdepan pertandingan dua atau tiga penjuru.

Malah, beliau mengaskan bahawa UMNO juga bersedia jika Pakatan Harapan (PH) mahu bertanding di DUN Skudai.

“UMNO Bahagian Iskandar Puteri tidak gentar dengan sebarang percaturan politik Amanah mahupun rakan mereka dalam PH. 

“Apa jua bentuk pertandingan sama ada dua penjuru atau tiga penjuru akan kami hadapi dengan penuh keyakinan,” katanya dalam satu kenyataan.

Hari ini, Amanah Kawasan Iskandar Puteri dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa PH wajar bertanding di kerusi DUN Kota Iskandar dan DUN Skudai dalam PRN nanti.

Ketuanya, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, pendirian rasmi tersebut adalah hasil daripada keputusan Mesyuarat Agung Tahunan Kawasan Iskandar Puteri yang diadakan kelmarin.

Abdul Aziz berkata, UMNO menghormati hak semua parti politik untuk bertanding dan menentukan calon mereka di mana-mana kerusi. 

Katanya, penentuan calon dan strategi parti sentiasa berteraskan keutamaan rakyat, kekuatan akar umbi serta keperluan memastikan kestabilan politik demi kelangsungan pembangunan negeri Johor.

Jelasnya, rundingan dan keputusan pembahagian kerusi adalah hak kepimpinan tertinggi parti dan gabungan politik yang terbabit.

“Jika Amanah memilih untuk memecah undi sesama mereka, UMNO melihat ini sebagai bukti kelemahan PH yang gagal menguruskan persefahaman dalaman. 

“Rakyat akan menilai siapa yang benar-benar menjaga kepentingan mereka dan siapa yang sekadar mengejar kuasa,” katanya. – Majestic

More From Author

Figueiredo bakal jadi mesin gol JDT, wira benam Al-Riyadh

Penyokong Indonesia persoal usia Aysar