Penyokong Indonesia persoal usia Aysar

KUALA LUMPUR: Wajah dan penampilan tonggak pertahanan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri dalam Piala ASEAN B-23 yang berlangsung di Indonesia menarik tumpuan peminat.

Rata-rata peminat termasuk penyokong Indonesia menyifatkan wajah Aysar seperti pemain sudah melebihi 23 tahun meskipun pemain itu ketika ini baru berusia 22 tahun.

Berdasarkan semakan di laman transfermarkt, Aysar lahir pada 4 September 2003 dan dia memainkan peranan penting di bahagian benteng skuad negara terutama ketika mengikat Indonesia 0-0 pada aksi terakhir Kumpulan A Piala ASEAN B-23 di Stadium Gelora Bung Karno, semalam.

Berdasarkan laporan beberapa media Indonesia termasuk tvOnenews.com, laman berkenaan melaporkan penyokong Indonesia mempersoal usia Aysar kerana penampilannya yang dilihat seakan tidak sesuai dengan usianya.

Berkemungkinan, penampilan Aysar yang bermisai pada kejohanan itu menyaksikan wajah pemain itu kelihatan lebih tua berbanding usianya.

Ia bukan kali pertama penyokong Indonesia mempersoal mengenai skuad kebangsaan Malaysia kerana sebelum ini juga mereka mempertikai mengenai salasilah beberapa pemain baharu warisan skuad senior Harimau Malaya. – BH

More From Author

UMNO Iskandar Puteri sedia ‘bertarung’ dengan Amanah 

Beli jet peribadi, Aliff Syukri janji cerita semua Jumaat ini