IPOH: Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membuktikan pengaruh politiknya apabila muncul sebagai penerima undi tertinggi dalam pemilihan G7 bagi Bahagian UMNO Pasir Salak.
Susulan kemenangan itu, Tajuddin akan mewakili bahagian tersebut ke Perhimpunan Agung UMNO 2025.
Beliau memperoleh 376 undi, diikuti isterinya, Datin Seri Rohkiah Abdul Samat, yang turut mencatat keputusan cemerlang dengan 362 undi, mengatasi calon-calon lain dalam Mesyuarat Bahagian UMNO Pasir Salak pada Ahad.
G7 merujuk kepada kumpulan tujuh perwakilan yang dipilih dalam mesyuarat peringkat bahagian UMNO untuk mewakili bahagian masing-masing ke Perhimpunan Agung UMNO.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Mohd Nazari Sabran berkata keputusan itu mencerminkan sokongan akar umbi yang masih utuh terhadap perjuangan politik Tajuddin dan isterinya.
“Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua perwakilan UMNO Bahagian Pasir Salak yang hadir dan komited dalam mesyuarat bahagian baru-baru ini.
“Tahniah kepada semua calon G7 yang berjaya, khususnya kepada Ayahanda Datuk Seri Tajuddin dan Bonda Datin Seri Rohkiah atas kemenangan yang cemerlang.
“Ini jelas membuktikan keyakinan ahli terhadap kepimpinan mereka masih kukuh dan tidak goyah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook semalam.
Mohd Nazari turut menegaskan komitmennya untuk terus berkhidmat kepada parti dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan ahli UMNO Pasir Salak.
Untuk rekod, Tajuddin digantung keahlian selama enam tahun pada Oktober 2022 susulan kritikannya terhadap Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Namun pada 25 November tahun lalu, UMNO menarik balik penggantungan tersebut serta-merta.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata keputusan itu dibuat selaras dengan Perlembagaan parti.
Majlis Tertinggi UMNO sebulat suara bersetuju untuk membatalkan penggantungan Tajuddin berdasarkan Fasal 10.6 dan Fasal 5.3 Perlembagaan UMNO.
Dalam ucapannya pada Ahad, Zahid memuji kecekalan dan keikhlasan Tajuddin untuk kembali kepada parti setelah disingkirkan – BH
