KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan sudah keluar daripada mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami keletihan ketika menyertai program ‘Picnic & Potluck’ pagi tadi.
Bekas Perdana Menteri itu difahamkan keluar dari IJN pada pukul 5 petang tadi, selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu pada pukul 10 pagi.
“Berkat doa semua, Alhamdulillah Tun M sudah diizin keluar dari IJN sekitar jam 5 petang tadi. Sebelum ini Tun dimasukkan ke IJN jam 10 pagi tadi untuk berehat akibat kepenatan.
“Insya-Allah kita sama-sama berdoa semoga Tun M terus diberikan kesihatan yang terbaik,” memetik status dari Facebook Kelab Che Det, malam ini.
Pagi tadi Dr Mahathir dilapor meninggalkan program ‘Picnic & Potluck’ lebih awal selepas dilaporkan sedikit keletihan.
Program berlangsung di Tasik Putrajaya itu diadakan bersempena sambutan kelahiran ke-100 beliau pada 10 Julai lalu serta ulang tahun kelahiran ke-99 isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada 12 Julai.
Dr Mahathir tiba 7.45 pagi dengan memandu sendiri sebelum mengayuh basikal secara ‘tandem’ di sekitar tasik diiringi pegawai keselamatan khas.
Bagaimanapun, selepas menamatkan kayuhan sejauh kira-kira lapan hingga sembilan kilometer, beliau dilihat keletihan dan duduk berehat di kerusi seketika sebelum menuju ke meja sarapan yang disediakan.
Beliau dilihat meninggalkan program sebelum sempat beramah mesra dan bergambar dengan orang ramai yang hadir. – Majestic
