KUALA LUMPUR: Hobi mencerap galaksi mungkin kedengaran luar biasa bagi sesetengah orang, namun bagi Muhammed Hadli Abdul Rahim aktiviti melihat keindahan langit malam dan objek angkasa lepas adalah hobi yang memberi ketenangan dan kekaguman terhadap ciptaan Tuhan.
Tidak seperti hobi biasa seperti memancing atau mendaki gunung, anak jati Kuala Lumpur berusia 48 tahun itu sanggup berbelanja ribuan ringgit demi satu kepuasan, menyaksikan sendiri keajaiban melangkaui atmosfera bumi, dari taburan bintang hingga nebula yang jauhnya berbilion kilometer.
Minatnya terhadap aktiviti itu bermula pada zaman persekolahan selepas melihat gambar angkasa lepas yang dirakam Hubble Space Telescope pada 1995.
“Saya tengok gambar itu dan terdetik, ‘masya-Allah, adakah ini penghujung dunia, penghujung alam semesta?’ Rasa ingin tahu saya membuak-buak, mendorong saya ke perpustakaan bagi mendapatkan bahan bacaan selain membeli buku-buku mengenainya.
“Pada masa itu saya suka ‘stargazing’ tapi dengan mata kasar sajalah, kerana nak beli alat seperti teleskop masih tak mampu,” katanya ketika ditemui di sini.
Sebaik memasuki alam pekerjaan, lulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem daripada Universiti Kebangsaan Malaysia itu bertekad menabung wang gajinya selama dua bulan bagi merealisasikan impian memiliki teleskop pertama yang dibeli pada harga RM300.
Menerusi teleskop itu, Muhammed Hadli berpeluang melihat planet Zuhal, iaitu planet keenam dari matahari, membuatkan beliau semakin teruja untuk meluangkan lebih banyak masa mencerap yang kemudian dilakukannya tiga kali sebulan.
“Bila dapat tengok tu saya macam tak percaya. Saya panggil mak, bapa semua untuk kongsi rasa teruja dan mereka pun dapat lihat dengan mata sendiri. Bila dapat tengok dengan mata sendiri timbul rasa puas.
“Tapi teleskop itu tak beri gambaran begitu memuaskan dan jelas kerana itu hanya teleskop ‘mainan’ (berkuasa rendah) jadi ada hadnya. Selepas setahun menabung dapat juga beli yang agak profesional pada harga RM3,000,” katanya berkongsi kini sudah lima tahun beralih ke hobi baharu iaitu astrofotografi, yang merupakan cabang khusus merakamkan imej objek di ruang angkasa.
Menurut bapa kepada empat cahaya mata itu, astrofotografi berbeza dengan cerapan visual yang menggunakan mata kasar atau lensa teleskop biasa, kerana ia menawarkan pengalaman jauh lebih mendalam, dengan imej yang dirakam boleh dianalisis secara terperinci dan disimpan sebagai bahan rujukan.
Muhammed Hadli berkata beliau mula berminat dalam astrofotografi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memanfaatkan masa yang terluang dan menjadi lebih obses kerana dapat melihat proses pembentukan bintang dan sebagainya.
Menurutnya, bagi menghasilkan satu imej astrofotografi yang memuaskan, proses cerapan biasanya memakan masa lebih empat jam termasuk masa penyediaan peralatan, penjajaran arah langit dan kerja-kerja pascapemprosesan imej.
“Contohnya kalau saya nak ambil gambar satu nebula, saya akan rakam dedahan selama beberapa minit untuk setiap frame, kemudian stack berpuluh atau beratus imej itu menjadi satu. Lebih lama pendedahan, lagi bersih dan tajam hasilnya,” katanya yang menjadikan kawasan sawah dan pantai sebagai lokasi pilihan mencerap bagi mengelakkan pencemaran cahaya.
Dalam menjayakan aktiviti itu, Muhammed Hadli turut berdepan cabaran antaranya cuaca tidak menentu dan pencemaran cahaya yang mengganggu proses cerapan.
“Saya pernah tiga kali berturut-turut ke Mersing, tapi langsung tak dapat sebarang hasil kerana cuaca mendung sepanjang malam. Bayangkan kita dah pasang semua peralatan, tunggu sampai tengah malam, tapi awan tak juga beralih. Rasa kecewa memang susah nak dilupakan,” katanya.
Beliau juga menyimpan hasrat untuk mencuba pengalaman mencerap di luar negara, khususnya di Thailand yang mempunyai kawasan langit gelap dan cuaca lebih stabil. – BERNAMA
