Tiga suspek ‘clean’ tumpas angkara bunga

JOHOR BAHRU: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket yang mengedar dadah termasuk jenis bunga ganja selepas dalang beserta dua ahlinya ditahan dalam lima serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini, Khamis lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, lima serbuan berasingan dibuat itu menyaksikan pelbagai jenis dadah bernilai RM3.55 juta dirampas.

Menurut beliau, suspek ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan beserta dua wanita warga asing berusia antara 32 hingga 39 tahun.

“Modus operandi sindiket ini adalah menjadikan rumah dan bilik sewa di kawasan perumahan ‘gated and guarded’ sebagai tempat simpan dan bungkus dadah sebelum diedar ke pasaran.

“Dadah dirampas termasuklah 20.7 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 18.4 kg ganja, 154.25 gram ketamin serta 141 gram pil eramin 5 dengan nilai keseluruhan RM3,556,250,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Tambah Kumar, ujian urin mendapati ketiga-tiga suspek positif methamphetamine, manakala kesemuanya tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.

“Kesemua suspek kini direman sehingga 17 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

More From Author

Kematian tapir suatu kehilangan buat penduduk Cherating

Bas terbalik, ibu dan anak cedera