KUANTAN: Kematian seekor tapir yang dianggarkan seberat 120 kilogram di Cherating, di sini semalam akibat kemalangan jalan raya menyedihkan terutama dalam kalangan penduduk di kawasan berkenaan.
Lebih-lebih lagi, haiwan terbabit sering berkeliaran dan menjadikan kawasan Cherating terutama di persekitaran Taman Agroteknologi MARDI Cherating untuk mencari makanan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Cherating Ahmad Nizam Abdul Ghani, berkata kematian spesies haiwan yang dilindungi itu satu kehilangan.
Katanya, dengan jumlah tapir yang semakin berkurangan, kematian haiwan itu tidak sepatutnya berlaku.
“Bagi saya, kematian tapir ini amat menyedihkan kerana spesies ini semakin pupus dan menjadi kerugian terutama kepada generasi akan datang.
“Oleh itu saya cadangkan jika ada tapir di kawasan Cherating dan sekitarnya, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dapat memasang papan tanda sebagai makluman kepada pengguna jalan raya supaya berhati-hati apabila melaluinya.
“Kita tidak mahu berlaku lagi kemalangan yang membabitkan tapir kerana spesis ini sukar ditemui,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, seekor tapir mati selepas dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 35, Jalan Kuantan-Kemaman, berhampiran Cherating.
Kejadian itu dipercayai kira-kira jam 12.10 tengah malam.
Siasatan mendapati kemalangan membabitkan sebuah MPV jenis Perodua Alza yang melanggar seekor tapir yang melintas jalan.
Pemandu kenderaan yang juga seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun tidak cedera.
Sementara itu, tinjauan di Jalan Kuantan-Sungai Soi, di sini mendapati PERHILITAN memasang papan tanda yang memaklumkan kewujudan haiwan itu di jalan berkenaan.
Jalan itu menjadi laluan hidupan liar melintas dan meminta pengguna jalan berhati-hati untuk mengelak daripada terbabit kemalangan.
Difahamkan, ada pengguna melihat haiwan itu berada di tepi jalan terutama pada waktu malam. – BH
