Suasana pilu selubungi pengebumian Tishant

JOHOR BAHRU: Suasana pilu menyelubungi kediaman nenek kepada mendiang A. Tishant, 6, yang dipercayai dijerut sehingga mati sebelum ditanam di Rompin, Jempol, Negeri Sembilan beberapa hari lalu.

Kediaman tersebut mula dikunjungi ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat yang mahu memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang.

Upacara keagamaan itu dimulakan seawal pukul 8 pagi, sebelum jasad mendiang dibawa ke Krematorium Hindu di Jalan Kebun Teh, di sini bagi upacara pembakaran mayat.

Sebahagian pengunjung yang hadir turut dilihat membawa jambangan bunga untuk dihadiahkan kepada mendiang.

Kenderaan mayat yang membawa jasad Tishant meninggalkan pekarangan kediaman keluarga itu pada pukul 10.42 pagi.

Pada 24 Julai lalu, kanak-kanak tersebut dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, Johor.

Polis bagaimanapun menjumpai mayat kanak-kanak berkenaan yang ditanam di kawasan Rompin, Jempol empat hari kemudian susulan penahanan bapa kanak-kanak itu yang berusia 36 tahun.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof turut dilaporkan berkata, punca kematian Tishant disebabkan tekanan pada bahagian leher mangsa akibat jerutan pengikat kabel.

More From Author

Gempa bumi kuat 8.8 magnitud landa Rusia, amaran tsunami dikeluarkan

Cari Norazam bantu pengesahan anak angkat