[VIDEO] Kantoi CCTV RM8,000 dalam poket seluar, SPRM reman pegawai penguat kuasa

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penguat kuasa ditahan reman selepas disyaki menerima rasuah kira-kira RM8,000 semasa bertugas di kaunter ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Perintah reman selama lima hari telah dikeluarkan oleh Majistret Zur Azureen Zainalkefli selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia dalam lingkungan 20-an itu telah ditahan kira-kira pukul 3 petang semalam di tempat suspek bertugas.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki menerima wang rasuah tersebut ketika sedang bertugas dan perbuatannya dikesan melalui pemantauan kamera litar tertutup (CCTV).

“Hasil pemeriksaan terhadap suspek menjumpai wang berjumlah kira-kira RM8,000 di dalam poket seluar suspek dan disyaki wang rasuah tersebut adalah hasil daripada kegiatan counter setting,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Khairul Izwan Karim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – Majestic

More From Author

Isu conteng, terbalik Jalur Gemilang: AFC serah kepada AFF

Lapan kawasan catat suhu panas tahap berjaga-jaga