Isu conteng, terbalik Jalur Gemilang: AFC serah kepada AFF

KUALA LUMPUR: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menyerahkan kepada Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) untuk menyiasat dan mengambil tindakan lanjut mengenai dakwaan penyokong Indonesia menconteng dan mengibarkan bendera Malaysia terbalik ketika kejohanan Piala ASEAN bawah 23 (B-23) tahun.

Perbuatan biadap itu didakwa dilakukan penyokong Indonesia ketika aksi terakhir Kumpulan A menentang Malaysia di Stadium Gelora Bung Karno, Isnin lalu.

Selain mengibar terbalik, berdasarkan gambar yang tersebar di media sosial turut memaparkan terdapat simbol pangkah yang dibuat pada bendera Malaysia itu.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John memaklumkan kepada BH Sukan bahawa pihaknya belum menerima apa-apa aduan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung insiden itu.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa AFF selaku penganjur kejohanan itu lebih berhak untuk mengambil tindakan lanjut mengenai insiden terbabit.

“Kami belum terima apa-apa laporan berhubung insiden yang dilaporkan. Mungkin ia sudah dilaporkan kepada AFF sebab penganjur adalah AFF dan bukan AFC,” kata Windsor.

Semalam, Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub menegaskan bahawa pihaknya memandang serius mengenai insiden itu seterusnya akan berhubung dengan AFF dan AFC bagi mendapatkan pandangan sebelum tindakan lanjut diambil.

“Kami akan berhubung dengan AFF dan AFC. Kami tidak mengambil ringan isu ini dan tidak menyokong sebarang perbuatan sedemikian,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Liga Wanita Nasional (LWN) 2025, semalam. – BH

More From Author

Isteri Hogan warisi RM105 juta

[VIDEO] Kantoi CCTV RM8,000 dalam poket seluar, SPRM reman pegawai penguat kuasa