SPRM Sabah tahan 5 pegawai PBT terima rasuah kira-kira RM200,000 daripada kontraktor

KUALA LUMPUR: Lima individu ditahan reman dipercayai menerima rasuah kira-kira RM200,000 daripada beberapa kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sabah.

Antara yang ditahan termasuk jurutera, penolong jurutera, kakitangan dan bekas kakitangan PBT berusia dalam lingkungan umur 30 hingga 50-an.

Perintah reman tujuh hari ke atas suspek terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita telah dikeluarkan oleh Majistret Yong Ching Hong selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sandakan, pagi tadi.

Menurut sumber, kelima-lima suspek ditahan di Pejabat SPRM Sabah ketika hadir memberi keterangan sekitar pukul 7 malam semalam.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, beberapa pegawai dan kakitangan PBT berkenaan dipercayai telah menerima wang rasuah secara pindahan wang ke akan peribadi masing-masing sejak tahun 2022 sehingga kini daripada beberapa kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja di tempat mereka berkhidmat.

“Wang rasuah yang itu dipercayai sebagai balasan kerana membantu mendapatkan sebut harga dan tender melibatkan kerja-kerja di PBT berkenaan dari tempoh 2022 hingga 2025,” katanya, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kelima-lima suspek dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – Majestic

More From Author

Sudah sampai masanya Johor jadi ‘pemilik’ bukan sekadar ‘penyumbang’

Larangan sertai perhimpunan: Pegawai awam tertakluk kepada Surat Aku Janji – Jabatan Peguam Negara