Larangan sertai perhimpunan: Pegawai awam tertakluk kepada Surat Aku Janji – Jabatan Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Seseorang pegawai awam adalah tertakluk kepada Surat Aku Janji sebagaimana yang diperuntukkan dalam subperaturan 20(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 (P.U. (A) 1/2012).

Jabatan Peguam Negara memaklumkan, berdasarkan Surat Aku Janji itu, setiap pegawai awam bertanggungjawab mematuhi segala peraturan, termasuk Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (P.U. (A) 395/1993), Perintah-Perintah Am, pekeliling, surat pekeliling, peraturan dan arahan lain yang dikeluarkan kerajaan dari semasa ke semasa sepanjang tempoh perkhidmatannya dengan kerajaan.

Merujuk kepada kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengenai larangan terhadap penyertaan pegawai awam dalam perhimpunan yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 26 Julai ini, jabatan itu menyatakan, berdasarkan P.U. (A) 1/2012 dan P.U. (A) 395/1993, seorang pegawai awam, antara lain, pada setiap masa hendaklah memberikan taat setianya kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan.

Selain itu, tidak berkelakuan dengan cara yang boleh memburukkan atau mencemarkan nama perkhidmatan awam dan tidak boleh membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memalukan atau memburukkan nama kerajaan.

“Justeru, sebarang kegagalan mematuhi P.U. (A) 1/2012, P.U. (A) 395/1993, Perintah-Perintah Am, pekeliling, surat pekeliling, peraturan dan arahan lain yang dikeluarkan kerajaan boleh menyebabkan tindakan tatatertib diambil ke atas pegawai awam di bawah P.U. (A) 395/1993,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahad lalu, Shamsul Azri mengingatkan penjawat awam supaya tidak menyertai himpunan dianjurkan pembangkang yang dijadualkan 26 Julai ini dan perlu patuh dengan ikrar yang termaktub dalam Rukun Negara.

Sebelum ini, pembangkang dilaporkan akan mengadakan perhimpunan berkenaan di Dataran Merdeka, yang dijangka dihadiri 300,000 orang.

Polis menganggarkan, antara 10,000 hingga 15,000 peserta akan menyertai perhimpunan itu, membabitkan gabungan badan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa dan masyarakat awam.

Pada masa sama, Jabatan Peguam Negara menegaskan, walaupun Perkara 10(1)(a) dan 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak kepada setiap warganegara untuk bercakap dan bersuara, serta hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata, namun hak itu tidak bersifat mutlak.

“Selaras dengan itu, sebarang perhimpunan awam juga tertakluk kepada keperluan mematuhi undang-undang sedia ada termasuk arahan khusus yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa termasuk arahan oleh Ketua Setiausaha Negara kepada penjawat awam,” katanya. – BH

More From Author

SPRM Sabah tahan 5 pegawai PBT terima rasuah kira-kira RM200,000 daripada kontraktor

Kurang pilihan makanan halal punca prestasi Umar merosot