Ramai rakyat Afghanistan meninggal dunia akibat tak dapat rawatan

KABUL, Afghanistan: Kekurangan kemudahan kesihatan dan ketidakmampuan rakyat untuk membiayai kos perubatan akibat dibelenggu kemiskinan mengakibatkan ramai pesakit termasuk pejuang Taliban meninggal dunia sebelum sempat mendapatkan rawatan sewajarnya.

Walaupun kos rawatan bagi penyakit jantung, buah pinggang dan beberapa penyakit kronik lain agak murah berbanding di negara lain, namun kebanyakan rakyat tidak mampu untuk membayarnya jika ingin mendapatkan rawatan di hospital persendirian, manakala hospital kerajaan tidak berupaya menampung jumlah pesakit yang terlalu ramai selain tidak mempunyai peralatan yang mencukupi.

Menyedari keadaan itu, Hospital Al-Hayat, sebuah pusat perubatan persendirian di tengah bandar raya ini memperkenalkan konsep hospital kebajikan dengan mengenakan caj yang agak murah dan memberikan diskaun sehingga 60 peratus daripada kos rawatan pelbagai penyakit kronik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya,  Dr. Sayed Habibullah Hazem berkata, konsep berkenaan diperkenalkan sejak beberapa tahun lau selepas Afghanistan bebas daripada cengkaman tentera penceroboh Amerika Syarikat dan sekutunya bagi memastikan rakyat mendapat rawatan yang sewajarnya.

Selain menubuhkan tabung kebajikan, Hospital Al-Hayat menjalinkan hubungan dengan pelbagai rakan strategik bagi mengumpul dana untuk menampung kos perubatan pesakit miskin.

“Hospital ini menawarkan pelbagai kepakaran perubatan dan kami hanya mengenakan kos rawatan yang sangat minimum. Contohnya, kos pembedahan jantung koronari hanya kira-kira AS$2,500 (RM10,000) sahaja. 

Antara kemudahan rawatan jantung yang disediakan di Al Hayat Hospital di Kabul.

“Namun keupayaan kami untuk memberikan rawatan agak terbatas kerana kekurangan peralatan. Kami hanya mempunyai sebuah mesin dialisis dan ia kini tidak dapat digunakan kerana sudah rosak. Kami sangat mengalu-alukan sumbangan daripada penderma sama ada dari dalam mahupun luar negara,” katanya dalam taklimat sempena lawatan rombongan Misi Kemanusiaan Afghanistan MyCARE-Econsave 2025 di Hospital Al-Hayat, di sini semalam.

Rombongan misi kemanusiaan diketuai Penasihat Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Johor, Dr. Mohd  Zin Kandar dan turut disertai Pengurus Besar Econsave Cash & Carry, Mas Imran Adam.

Dr. Mohd. Zin berkata, MyCARE akan berusaha mengumpul sumbangan daripada rakyat Malaysia bagi membantu Hospital Al-Hayat menyediakan pelbagai peralatan agar lebih ramai rakyat miskin di Afghanistan mendapat rawatan perubatan yang sewajarnya.

More From Author

Lima kawasan rekod IPU tidak sihat – JAS

Abai Zayn Rayyan: Ismanira diperintah bela diri, Zaim lepas dan bebas