KUALA LUMPUR: Ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin diperintahkan untuk membela diri oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabai anak sulungnya itu, dua tahun lalu.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie ke atas tertuduh, Ismanira Abd Manaf, 30.
Bagaimanapun suaminya, Zaim Ikhwan Zahari dilepaskan dan dibebaskan ekoran pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen pengabaian ke atas bapa kanak-kanak itu.
Hakim Dr. Syahliza berkata beliau membuat keputusan itu selepas mendengar dan meneliti hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan serta keterangan 28 saksi yang dipanggil sepanjang perbicaraan.
Ketika prosiding, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.
Pada 24 April lepas, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil 28 saksi pendakwaan sepanjang 20 hari perbicaraan yang bermula pada 4 Februari lepas.
Zaim Ikhwan dan Ismanira, masing-masing berusia 30 tahun didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan antara 12 tengah hari 5 Disember hingga 9.55 malam 6 Disember 2023.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 dan mayatnya ditemukan keesokan harinya di aliran anak sungai berhampiran rumahnya.- UTUSANTV
