Polis rujuk MCMC turunkan ‘posting’ fitnah kaitkan Alya Iman

KUALA LUMPUR: Polis merujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi tindakan menurunkan hantaran dan komen berunsur fitnah terhadap pelakon, Alya Iman, yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata kes dirujuk ke MCMC selepas pihaknya menerima laporan dibuat Alya pada jam 3.49 petang semalam.

Katanya, laporan dibuat berkaitan hantaran di media sosial yang mengaitkan pelakon itu sebagai punca keretakan rumah tangga pasangan selebriti, Yusuf Bahrin dan Zizi Kirana.

“Kes ini membabitkan posting (hantaran) negatif di aplikasi TikTok, Instagram, serta laman berita yang mengaitkan nama pengadu (Alya) secara langsung.

“Kes dirujuk kepada pihak MCMC bagi tindakan lanjut untuk menurunkan posting atau komen berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

BH semalam melaporkan, Alya Iman atau nama sebenarnya Nur Alya Iman Azmil, tampil membuat laporan polis susulan dakwaan mengaitkan dirinya sebagai punca pergolakan rumah tangga pasangan selebriti, Zizi Kirana dan Yusuf Bahrin.

Alya, 24, mendakwa bahawa fitnah yang dilemparkan itu bukan saja menjejaskan kerjaya seninya, malah turut memberi kesan terhadap kesihatan mental beliau.

Katanya, beliau mengeluarkan kenyataan rasmi berikutan isu sedang tular dalam media sosial yang mengaitkan namanya sebagai punca keretakan rumah tangga pasangan selebriti. – BH

More From Author

AI ramal Indonesia tumbangkan Malaysia

Syed Saddiq salur 100% bayaran wajah kempen Wawa Cosmetics kepada penduduk Muar