AI ramal Indonesia tumbangkan Malaysia

KUALA LUMPUR: Aksi ‘panas’ antara Indonesia dan Malaysia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, malam esok jelas menjadi topik hangat dalam Piala ASEAN bawah 23 (B-23) tahun ketika ini.

Pertembungan seteru utama itu dianggap perlawanan yang ditunggu-tunggu oleh peminat terutama penyokong skuad Garuda Muda dan Harimau Malaya B-23 dengan keputusan perlawanan akan menentukan nasib kedua-dua pasukan dalam kejohanan itu.

Kehangatan perlawanan terakhir Kumpulan A itu terus dirasai dengan media Indonesia turut menggunakan kecerdasan buatan (AI) ChatGPT dalam meramalkan keputusan perlawanan itu.

Menerusi laporan tvonenews.com, ChatGPT meramalkan Indonesia akan menumbangkan Malaysia dalam perlawanan itu berdasarkan beberapa faktor termasuk prestasi semasa, kekuatan skuad dan kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri.

AI menyatakan skuad Garuda Muda berada pada momentum terbaik selepas merekodkan kemenangan dalam dua perlawanan awal termasuk membelasah Brunei 8-0 dan menewaskan Filipina 1-0.

Situasi itu sekali gus meletakkan moral skuad kendalian Gerald Vanenburg di tahap terbaik menjelang perlawanan menentang Malaysia yang mana Indonesia hanya memerlukan keputusan seri untuk bergelar juara kumpulan dan mara ke separuh akhir.

Sokongan padu penyokong tuan rumah yang dijangka membanjiri stadium keramat itu turut dilihat menjadi kelebihan besar buat Indonesia untuk menundukkan musuh tradisi mereka.

Bagaimanapun, ramalan itu hanya berdasarkan atas kertas dan keputusan sebenar perlawanan itu hanya akan disaksikan selepas aksi 90 minit di Stadium Gelora Bung Karno. – BH

More From Author

Rexy tuntut anak buah lebih garang di China

Polis rujuk MCMC turunkan ‘posting’ fitnah kaitkan Alya Iman