KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan menyerahkan bayaran sebagai wajah kempen produk kecantikan, Wawa Cosmetics kepada tabung membantu penduduk Muar, Johor.
Syed Saddiq berkata, bayaran yang diterima bukan untuk dirinya, sebaliknya, diagih bagi membantu penduduk di kerusi Parlimen yang diwakilinya itu.
“Selalunya, saya maklumkan terlebih dahulu kepada pemilik jenama bahawa setiap sen bayaran yang saya terima, akan saya salur kepada kebajikan penduduk Muar.
“Sebelum ini pun, saya kongsikan begitu. Untuk jenama ini (Wawa Cosmetics), saya juga akan salurkan keseluruhannya.
“Tetapi berapa jumlahnya, kena dapat kebenaran boss-boss (pemilik Wawa Cosmetics) di sebelah saya ini. Apa-apa pun, saya akan perincikan. Namun, ada beberapa jenama yang tidak benarkan saya letak jumlah kerana perlu melalui beberapa agensi. Namun, saya boleh maklumkan jenis bantuan disalurkan.
“Apa-apa pun, 100 peratus (bayaran) disalurkan kepada rakyat kerana pada akhirnya, ini adalah untuk kebajikan, bukannya untuk saya,” katanya pada majlis New Chapter anjuran Wawa Cosmetics di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Syed Syaddiq diperkenalkan sebagai wajah kempen kepada produk pelindung matahari Wawa Cosmetics. Selain Syed Saddiq, turut diumum sebagai wajah kempen adalah Umisya Mazlan dan Aslam.
Wawa Cosmetics diusahakan pasangan suami istri selebriti, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal.
Syed Saddiq berkata, tidak semua tawaran wajah kempen atau duta diterima, malah, beliau menolak beberapa ‘job’ yang dilihat tidak sesuai dengan imejnya sebagai penggubal dasar.
“Banyak juga (tawaran) saya tolak atas sebab tertentu. Saya ikut kesesuaian. Publisiti yang saya kongsi perlulah sesuai dengan saya seperti produk ini.
“Wawa Cosmetics adalah produk Malaysia dan berjaya. Produk ini juga sesuai dengan saya sebagai individu yang gemar bersukan,” katanya. – BH
