PETALING JAYA: Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman berjanji berkongsi butiran mengenai pembelian jet peribadi yang hangat diperkatakan netizen sejak beberapa hari lalu, melalui pengumuman khas, Jumaat ini.
Aliff yang membangunkan empayar perniagaan kosmetik dan produk kesihatan, D’Herbs memberitahu, buat masa ini, beliau belum boleh berkongsi mengenai pembelian jet peribadi yang dianggar berjuta-juta ringgit kerana membabitkan banyak pihak, selain pelbagai kesan sampingan andai penjelasan dibuat sekarang.
“Sebenarnya, kalau hendak beritahu, nanti orang kata riak selain cukai kejar. Tetapi, kalau hendak tahu mengenai jet peribadi itu, Jumaat ini saya umumkan. Sekarang saya tidak mahu cerita lebih lanjut, doakan yang baik-baik sahaja.
“Kenapa Jumaat? Sebab ini membabitkan ramai orang. Nilai (jet peribadi) pun jutaan ringgit. Jadi, kita tunggu Jumaat. Saya harap rakyat Malaysia doakan yang terbaik.
“Apabila lihat orang ada sesuatu, takut ada penyakit ain. Jadi, tunggu Jumaat sahaja,” katanya pada sesi minum petang bersama media di kediamannya di Kota Damansara di sini, hari ini.
Aliff yang juga bapa anak enam mengakui memiliki jet peribadi adalah impiannya sejak dahulu. Baginya, apa yang dipaparkan dalam media sosial adalah perkongsian kisah hidupnya sahaja.
“Jet peribadi sudah jadi impian saya dari dahulu. Setiap orang ada impian. Apabila cerita mengenai jet peribadi ini viral, saya tidak sangka. Saya hanya berkongsi mengenai kisah hidup,” katanya,
Aliff berkata, pemilikan jet peribadi terbabit ada kaitan dengan perniagaan.
“Ramai orang salah tafsir dan cakap saya macam-macam,” katanya.
Sementara itu, Aliff tidak menolak jualan jeruk mangga harumanis yang diusahakan sejak awal tahun ini banyak memberi impak dalam perniagaan bersama keluarga.
“Saya jual jeruk mangga ini secara kecil-kecilan. Tiada niat hendak tunjuk hasil jualan itu saya dapat beli jet. Saya teruja kerana macam mana jualan jeruk itu boleh dapat jutaan ringgit.
“Bukan senang kerana saya hanya berniaga secara dalam talian. Orang pandang rendah kerana jualan begini (hanya dibuat) orang kampung sahaja.
“Saya ucap terima kasih kepada semua yang sokong saya. Jualan ini sudah kumpul jutaan ringgit. Walaupun ia sekadar jeruk, tetapi ini sungguh bermakna,” katanya.
Sebelum ini, Aliff dilapor mendakwa berjaya memiliki jet peribadi hasil titik peluh menjual jeruk mangga bersama anak sulungnya, Ammar Ahyan.
Menerusi video dimuat naik dalam Instagram (IG), Aliff berkongsi keterujaan bersama isteri dan anaknya menaiki jet peribadi berwarna hitam itu.
Sementara itu, Aliff menzahirkan hasrat untuk mencipta rekod Malaysia untuk The Malaysia Book of Records (MBR) di bawah kategori kutipan jualan tas tangan RM1 juta terpantas secara ‘live’ pada 3 Ogos depan, mulai jam 8 malam di platform TikTok, @papalarisofficial.
Aliff berkata, dia akan memperkenalkan koleksi tas tangan, Samma Bag Denim Edition pada malam itu, demi merealisasikan sasaran jualan RM1 juta. – BH
