KUALA LUMPUR: Masa depan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah bersama skuad kebangsaan akhirnya terjawab apabila difahamkan mereka sudah mencapai kata sepakat untuk menandatangani kontrak baharu bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
BH Sukan difahamkan, rundingan antara kedua-dua pihak sudah dimuktamadkan dan pasangan nombor tiga dunia itu dijangka menurunkan tandatangan hujung minggu ini sebelum berlepas ke Tokyo bagi menyertai Terbuka Jepun dari 15 hingga 20 Julai ini.
Kontrak baharu itu akan menyaksikan Pearly-Thinaah kekal bersama BAM hingga temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Sebelum ini, masa depan Pearly-Thinaah bersama skuad kebangsaan menimbulkan tanda tanya selepas mereka belum menandatangani kontrak baharu walaupun kontrak terdahulu sudah tamat pada Disember lalu.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan berkata isu kontrak Pearly-Thinaah akan diselesaikan sebelum kedua-dua pemain itu berlepas ke Jepun.
Selepas Terbuka Jepun, Pearly-Thinaah dijadual menyertai Terbuka China dari 22 hingga 27 Julai sebelum turun beraksi pada Kejohanan Dunia di Paris dari 25 hingga 31 Ogos depan.
Dalam empat kejohanan terakhir disertai, mereka mempamerkan aksi cemerlang apabila merangkul satu gelaran di Terbuka Thailand dan muncul naib juara Terbuka Indonesia, selain mara ke separuh akhir Masters Malaysia dan suku akhir Terbuka Singapura. – BH
