KUALA LUMPUR: Juara Liga Super 11 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak kemenangan dalam jelajah pramusim mereka di Sepanyol.
Terbaharu, skuad kendalian Xisco Munoz itu mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas kelab yang berpangkalan di Elche, Costa City di Estadi Olimpic Camilo Cano, La Nucia awal pagi tadi.
Mesin gol Harimau Selatan yang juga penjaring terbanyak Liga Super 2022 dan 2024-2025, Bergson da Silva muncul wira skuad itu apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-68.
Ia jaringan kedua yang diledak penyerang dari Brazil itu dalam jelajah pramusim JDT kali ini apabila turut menyumbang satu gol ketika membantu pasukannya membelasah Real Murcia Imperial 4-0, kelmarin.
JDT seterusnya akan menentang kelab Wales milik jutawan Tan Sri Vincent Tan, Cardiff City esok sebelum berdepan dua kelab Sepanyol, Levante UD (12 Julai) dan Valencia Mestalla (14 Julai).
Sementara itu, tiga lagi aksi mereka berikutnya berdepan kelab Arab – dua dari Qatar, Al Rayyan SC (16 Julai) dan Al Arabi SC (19 Julai) sebelum menutup aksi pramusim di Alicante, Sepanyol menentang kelab Arab Saudi, Riyadh FC (21 Julai).
Perlawanan pramusim yang diatur itu adalah sebagai persediaan buat Harimau Selatan mengharungi Liga Malaysia (Liga M), Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Kejuaraan Kelab ASEAN musim 2025-26. – BH
