SAALFELDEN, Austria: Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo berdepan kekecohan luar biasa di kem pramusim Al-Nassr di Saalfelden, Austria apabila kegilaan peminat mencetuskan huru-hara hingga memaksa Ronaldo mengugut untuk menghubungi polis.
Menurut laporan Kronen Zeitung, ratusan peminat membanjiri Hotel Brandelhof setiap hari semata-mata mahu melihat kelibat pemenang Ballon d’Or lima kali itu.
Ramai tetamu dilaporkan menempah bilik hanya untuk berada dekat dengan Ronaldo, sekali gus mengubah suasana damai di kawasan peranginan itu menjadi penuh huru-hara.
Keadaan menjadi lebih tegang apabila sekumpulan kanak-kanak yang menginap di hotel berjaya menceroboh tingkat peribadi yang menempatkan bilik suite Ronaldo dan mengetuk pintunya.
Ronaldo yang jelas berang, dilaporkan membuka pintu dan mengugut dengan kuat untuk menghubungi polis.
Suasana sekitar sesi latihan Al-Nassr juga semakin tidak terkawal.
Sabtu lalu, kereta Mercedes hitam milik Sadio Mane terpaksa berhenti mengejut selepas sekumpulan peminat meluru ke tengah jalan dalam keadaan hujan lebat yang licin, hampir menyebabkan kemalangan.
“Kami memang tidak bersedia apabila kanak-kanak itu naik ke tingkat atas,” akui salah seorang pengawal keselamatan hotel.
Malah kakitangan hotel turut terkejut dengan kegilaan yang berlaku.
Sesetengah ibu bapa meluahkan rasa kecewa: “Kami habiskan 1,000 euro (kira-kira RM4,800) untuk tinggal di sini tetapi satu gambar atau autograf pun tak dapat,” kata seorang tetamu.
Namun ada juga yang bernasib baik apabila beberapa ahli keluarga penganjur dilaporkan mendapat akses peribadi kepada Ronaldo dan beberapa peminat berjaya mendapatkan tandatangan di koridor hotel.
Akhirnya, pada malam Ahad lalu, Ronaldo keluar dari hotel dan meluangkan masa menandatangani bola, jersi dan nombor plat kereta.
Ramai peminat menjadi emosional dan menitiskan air mata.
Pemilik hotel, Alexander Strobl memberi amaran pendekatan baharu perlu diambil jika Al-Nassr ingin kembali ke situ tahun depan.
“Jika mereka datang lagi tahun depan, kami perlu fikir semuanya dari awal,” katanya kepada Krone.
Strobl turut menyelar pendekatan Al-Nassr yang enggan menempah keseluruhan hotel secara eksklusif, walaupun sudah maklum kehadiran Ronaldo pasti menarik ribuan peminat. – AGENSI
