KPM sedia terima pelajar MARA yang dibuang sekolah

SEPANG: Kementerian Pendidikan (KPM) sedia menerima pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang dibuang sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata KPM sentiasa bersedia menerima sesiapa saja pelajar untuk memasuki aliran sistem pendidikannya.

“Kalau dihantar ke sekolah kita kena terimalah kerana itu tanggungjawab kita dan komitmen kita dan kita sentiasa bersedia untuk menerima siapa saja anak-anak kita untuk dididik.

“Jadi saya rasa tidak timbul isu kita tidak memberi peluang atau menolak mereka, tetapi kita ambil atas dasar tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Berita Harian di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tengah malam tadi bagi menunggu ketibaan Orkestra Sekolah Seri Puteri (SSP), Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) yang memenangi Anugerah Emas di Festival Orkestra Dunia ke-11 di Vienna, Austria.

Fadhlina diminta mengulas mengenai kedudukan enam pelajar sebuah MRSM di Melaka yang dibuang sekolah kerana terbabit dalam kes buli, minggu lalu.

Pada 26 Julai lalu, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dilaporkan berkata enam pelajar Tingkatan 5 sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Melaka dibuang serta merta selepas siasatan lembaga disiplin mendapati kes penderaan membabitkan mereka memang berlaku.

Katanya, enam pelajar terbabit bukan sahaja digantung dan dicadangkan untuk disingkirkan, tetapi terus dibuang.

“Kita tidak akan berkompromi, pengurusan tertinggi MARA sudah faham prinsip saya sebaik dilantik sebagai pengerusi.

“Pengurusan tertinggi MARA juga diminta tidak melayan sebarang rayuan kerana kita sudah kerap kali memperingatkan untuk tidak berkompromi dengan sebarang bentuk buli,” katanya.

Selain kejadian terbaharu itu, bulan lalu, seorang pelajar MRSM berusia 14 tahun mendakwa dibuli dengan diarahkan membuat kedudukan separa mencangkung dan diletakkan selipar atas kepala selama 40 minit, jam 11.30 malam.

Terdahulu pada April, polis mengesahkan video berdurasi satu minit 31 saat yang tular di media sosial, memaparkan seorang pelajar dibuli di asrama, berlaku di sebuah MRSM di Seberang Perai Selatan pada pertengahan tahun lalu.

KPM serah kepada polis kes pelajar tumbuk guru

Dalam pada itu mengulas isu pelajar Tingkatan Dua yang didakwa menumbuk seorang guru di sebuah sekolah menengah di Kajang, beliau berkata, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada polis untuk menyiasat.

Menurutnya, biarpun KPM ada peraturan dalam menangani insiden di sekolah, namun apabila pihak berkuasa seperti polis sudah mengambil alih siasatan, kementerian akan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

Fadhlina mengulas insiden seorang guru didakwa ditumbuk murid yang berang selepas ditegur ponteng kelas pendidikan jasmani petang kelmarin.

Pada masa sama, Fadhlina berkata, KPM akan memberi tumpuan dengan memberikan bantuan kaunseling guru terbabit.

Media semalam melaporkan guru lelaki berusia 29 tahun berkenaan membuat laporan polis jam 7.15 malam pada hari kejadian.

Kejadian disaksikan beberapa guru dan pelajar lain, turut tular di media sosial.

Murid berusia 14 tahun itu ditahan kelmarin disekitar Kajang dan direman dua hari, selain kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Polis mendapat arahan pertuduhan kes itu dibuat di Mahkamah Kajang hari ini. – BH

More From Author

Shazeli Kahar Ketua Polis Selangor baharu

Kem pramusim Ronaldo bersama Al-Nassr kecoh