PARIS: Paris Saint-Germain dilaporkan bersetuju mendapatkan penjaga gol baharu, sekali gus meletakkan masa depan Gianluigi Donnarumma dalam keadaan tidak menentu – dengan Manchester United dan Manchester City kini bersedia untuk membuat tawaran.
United masih mencari kestabilan di posisi penjaga gol selepas dua musim yang mengecewakan bersama Andre Onana, yang gagal menyerlah sejak menyertai kelab dari Inter Milan dengan nilai 47.2 juta pound (RM268.3 juta) pada tahun 2023.
Sejak ketibaannya, tiada penjaga gol Liga Perdana Inggeris yang melakukan lebih banyak kesilapan hingga dibolosi berbanding Onana — lapan kesemuanya.
Peratusan menyelamatkan bola dalam musim 2024–25 hanyalah 67.2 peratus, sekadar menduduki tempat ke-11 dalam liga.
Sementara itu di City, masa depan Ederson turut menjadi persoalan, dan kelab itu dijangka akan membawa pulang semula James Trafford dari Burnley dengan nilai perpindahan 27 juta pound (RM152.6 juta).
Trafford dianggap sebagai bakat muda yang menyerlah dan berpotensi menjadi pesaing, malah pengganti jangka panjang kepada Ederson.
Pemain berusia 22 tahun itu adalah produk akademi City tetapi tidak pernah membuat penampilan senior sebelum berhijrah ke Burnley pada tahun 2023 dengan nilai 15 juta pound (RM82.2 juta), namun City menggunakan klausa pembelian semula untuk pemainnya itu.
Menurut laporan L’Equipe, PSG hampir melengkapkan perpindahan penjaga gol muda Lille, Lucas Chevalier.
Penjaga gol berusia 23 tahun itu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang yang mungkin menjadi pilihan utama di ibu kota Perancis suatu hari nanti.
Kedatangan Chevalier mungkin mendorong Donnarumma untuk mempertimbangkan pilihan lain, dengan United dan City dilaporkan berminat mendapatkan khidmatnya.
PSG dijangka hanya akan melepaskan Donnarumma selepas memuktamadkan perpindahan Chevalier.
Donnarumma mengharungi musim paling cemerlang dalam kerjayanya pada 2024–25 dengan 12 perlawanan tanpa bolos ketika membantu PSG meraih kejuaraan treble.
Penjaga gol antarabangsa Itali itu kini menjadi pilihan utama untuk memenangi Trofi Yashin buat kali kedua — anugerah yang diberikan kepada penjaga gol terbaik dunia.
Setakat ini, belum didedahkan nilai perpindahan yang bakal dituntut PSG untuk Donnarumma, namun dijangka mana-mana kelab perlu berbelanja besar untuk mendapatkannya.
Kepa Arrizabalaga masih memegang rekod sebagai penjaga gol termahal dunia apabila Chelsea mendapatkannya dari Athletic Bilbao pada tahun 2018 dengan nilai 71.6 juta pound (RM406.8 juta).
Kontrak Donnarumma bersama PSG akan tamat pada musim panas 2026, namun dia menyatakan hasratnya untuk kekal di Paris.
“Keutamaan saya adalah untuk kekal di PSG dan menandatangani kontrak baharu. Saya tidak fikir akan ada masalah dalam rundingan,” katanya bulan lalu.
Donnarumma memulakan kerjayanya di akademi belia ASD Club Napoli sebelum berhijrah ke AC Milan, dan membuat penampilan sulung Serie A ketika berusia 16 tahun pada tahun 2015.
Dia kemudiannya menempatkan diri sebagai antara bakat muda paling menyerlah dan salah seorang penjaga gol terbaik dunia sebelum menyertai PSG secara percuma pada musim panas 2021. – AGENSI
