Azeem Fahmi bantu kuartet 4x100m negara mara ke final sukan universiti dunia

BOCHUM: Kuartet 4×100 meter (m) lelaki kebangsaan menunaikan janji mereka apabila layak ke pusingan akhir Sukan Universiti Dunia Rhine-Ruhr 2025 yang berlangsung di Lohrheidestadion, awal pagi tadi waktu Malaysia.

Dalam aksi pusingan pertama, kuartet dibarisi Muhammad Azeem Mohd Fahmi, Pengiran Aidil Auf Hajam, Mohammad Thaqif Mohammad Hisham dan Aliff Iman Mohd Fahimi menamatkan saringan pertama di tempat ketiga dengan catatan masa 39.83 saat (s) di belakang Afrika Selatan (38.85s) dan India (39.12s).

Catatan 39.83s itu juga rekod terbaik musim ini bagi pasukan kebangsaan, manakala rekod kebangsaan ialah 39.09s yang dicatatkan pada 2022.

Selain Afrika Selatan, India dan Malaysia, pasukan lain yang mara ke pusingan akhir 4x100m lelaki ialah Jerman, Poland, Turkiye dan Thailand.

Sementara itu, atlet lompat kijang wanita negara, Nurul Ashikin Abas turut mara ke pusingan akhir selepas mencatatkan rekod terbaik musim ini dengan lompatan sejauh 12.98m dalam pusingan kelayakan Kumpulan B.

Tidak mahu ketinggalan, kuartet 4x400m wanita negara yang dibarisi Mandy Goh Li, Nurul Aliah Maisarah Nor Azmi, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas dan Hizillawanty Jamain yang turut mara ke pusingan akhir selepas menamatkan saringan kedua di tempat keempat dengan catatan terbaik musim ini, iaitu 3 minit 55.21s.

Namun, nasib tidak menyebelahi pelari 800m lelaki negara, Wan Muhammad Fazri Wan Zahari, yang sekadar mencatat masa 1:49.87s untuk menamatkan saingan di tempat keenam dalam separuh akhir pertama, manakala atlet baling tukul besi wanita, Grace Wong Xiu Mei gagal melepasi pusingan kelayakan. – BH

More From Author

Pasport terbang: 4 suspek direman 6 hari

Kelab-kelab Manchester buru Donnarumma