KUALA LUMPUR: Jerebu rentas sempadan melanda beberapa negeri pantai barat Semenanjung berdasarkan pencerapan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
Ketua Pengarah METMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata berdasarkan analisis daripada imej satelit NOAA-20, semalam, laporan dikeluarkan Asean Specialized Meteorological Centre (ASMC) mendapati terdapat 79 titik panas di kawasan Sumatera.
“Ia berkemungkinan menjadi punca kepada keadaan berjerebu berkenaan yang dibawa oleh tiupan angin barat daya.
“METMalaysia tidak menjangkakan sebarang cuaca hujan atau perubahan arah tiupan angin bagi mengurangkan kesan jerebu berkenaan dalam tempoh beberapa hari ini.
“Justeru, orang awam dinasihatkan untuk tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka memandangkan ia boleh menyebabkan keadaan jerebu bertambah buruk dan pencemaran terhadap alam sekitar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat cuaca terkini yang sahih menerusi laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MET Malaysia atau menghubungi talian Hotline 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.
Terdahulu, media melaporkan stesen pemantauan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Port Dickson mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat (100) setakat jam 1 tengah hari tadi. – BH
