KUCHING: Kementerian Kesihatan (KKM) menyiasat dakwaan wujudnya kegiatan gangsterisme menguasai urusan bilik mayat di sebuah hospital kerajaan di Sarawak.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Veronica Lugah, berkata KKM tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku, penyalahgunaan kuasa atau rasuah dalam perkhidmatan kesihatan awam.
Beliau berkata, pengurusan jenazah di hospital kerajaan adalah di bawah tanggungjawab waris atau keluarga si mati.
“Pihak hospital tidak menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah dan keluarga bebas memilih mana-mana syarikat tanpa paksaan atau campur tangan pihak hospital,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu merujuk kepada laporan portal berita mengenai dakwaan bekas pegawai perubatan berhubung kewujudan sindiket mengawal bilik mayat di sebuah hospital kerajaan di Sarawak.
Menurut laporan itu, sindiket berkenaan didakwa menjadi ejen tidak rasmi kepada syarikat pengurusan jenazah dan tampil selepas kematian.
Malah, ada kalanya, mereka muncul sebelum kematian disahkan secara rasmi.
Dr Veronica berkata, semua kakitangan KKM dilarang bertindak sebagai orang tengah dalam urusan berkaitan, selaras garis panduan sedia ada.
“Jika wujud unsur paksaan, ugutan atau perlakuan gangsterisme, laporan polis perlu segera dibuat agar siasatan dapat diambil oleh pihak berkuasa.
“Sebarang pelanggaran arahan boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya.
Beliau turut menggalakkan orang ramai menyalurkan aduan mengenai salah laku anggota kesihatan melalui saluran aduan rasmi yang telah disediakan oleh KKM. – BH
