KUALA LUMPUR: Mulai 4 Julai lalu, dunia menyaksikan fenomena astronomi tahunan yang jarang disedari namun sarat dengan makna saintifik Aphelion, iaitu ketika bumi berada paling jauh dari matahari dalam orbitnya.
Berdasarkan data astronomi yang disiarkan timeanddate.com, jarak antara bumi dan matahari kini mencecah sekitar 152,087,738 kilometer (km), berbanding jarak purata 150 juta km.
Perbezaan sejauh dua juta km berkenaan mungkin tampak kecil, namun ia cukup memberi kesan kepada corak suhu harian di beberapa kawasan.
Walaupun fenomena berkenaan tidak dapat disaksikan dengan mata kasar, kesannya boleh dirasai terutamanya dalam bentuk cuaca pagi dan malam yang lebih dingin daripada biasa.
Fenomena Aphelion berkenaan dijangka berlarutan sehingga Ogos ini sebelum bumi mula kembali menghampiri matahari menuju ke titik Perihelion yang dijangka berlaku pada 4 Januari 2026.
Mengikut data berkenaan, fenomena Aphelion dan Perihelion berlaku secara konsisten setiap tahun dengan perbezaan jarak yang sangat kecil namun signifikan bagi ahli sains.
Pada 2025, Perihelion berlaku pada 4 Januari lalu jam 9.28 malam dengan bumi berada pada jarak 147,103,686km dari matahari, manakala Aphelion dicatat pada 4 Julai jam 3.54 pagi dengan jarak 152,087,738km.
Untuk tahun berikutnya, 2026, Perihelion berlaku lebih awal, iaitu pada 4 Januari jam 1.15 pagi, dengan jarak 147,099,894km, manakala Aphelion pula jatuh pada 7 Julai jam 1.30 pagi, dengan jarak 152,087,775km.
Fenomena berkenaan berulang hampir pada tarikh yang sama setiap tahun. Pada 2027, Perihelion direkodkan pada 3 Januari jam 10.38 pagi dengan jarak 147,104,593km, sementara Aphelion berlaku pada 5 Julai jam 1.05 petang sejauh 152,100,481km dari Matahari.
Tahun 2028 menyaksikan Perihelion jatuh pada 5 Januari jam 8.26 malam (147,100,687 km) dan Aphelion pada 4 Julai jam 6.18 pagi, ketika bumi berada sejauh 152,093,129 km.
Sementara itu, pada 2029, Perihelion dijangka berlaku pada 3 Januari jam 2.13 pagi dengan jarak 147,098,350 km, manakala Aphelion berlaku pada 6 Julai jam 1.11 petang, dengan bumi berada pada jarak maksimum 152,098,057km dari matahari. – BH
