PETALING JAYA: Tindakan sekumpulan wanita bercakap dengan suara kuat dalam sebuah pesawat meskipun lampu kabin telah dipadam mencetuskan pergaduhan dengan seorang penumpang lelaki.
Video yang tular di media sosial memaparkan insiden itu berlaku dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Chengdu, China apabila lelaki terbabit menegur kumpulan wanita berkenaan supaya memperlahankan suaranya.
Rakaman sama turut menunjukkan lelaki itu cuba melindungi diri di bawah dulang tempat duduk penumpang ketika diserang.
Difahamkan, teguran itu dikatakan disampaikan dengan kata-kata kesat sehingga mengundang kemarahan kumpulan wanita tersebut, sebelum seorang daripada mereka bertindak menumbuk lelaki terbabit.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata orang ramai menyelar tindakan sekumpulan wanita itu yang disifatkan tidak menjaga adab dan menghormati penumpang lain.
“Mungkin mereka ada masalah pendengaran kalau dalam gelap, itu yang tak reti yang cakap perlahan,” kata Sunshine.
“Susah sangat ke duduk diam dan nikmati ketenangan sepanjang penerbangan?” balas Xdiavelisti.
“Adakah mereka tidak tahu jika bergaduh di dalam pesawat boleh membahayakan penumpang lain?” -KOSMO! ONLINE
