Gangguan bekalan air selama 26 jam di Johor Bahru, Tebrau mulai 15 Julai

JOHOR BAHRU: Bekalan air kepada lebih 30,000 akaun pengguna di sekitar Bandar Raya Johor Bahru dan Tebrau akan mengalami gangguan selama 26 jam bermula 15 Julai ini.

Gangguan itu disebabkann kerja-kerja penyelenggaraan di Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Iskandar, Pasir Gudang.

Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Sdn. Bhd. (Ranhill SAJ), Anuar Abdul Ghani berkata, kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan yang dijadualkan itu melibatkan semua instrumen penting di loji berkenaan bagi memastikan kelestarian sistem rawatan air dan bekalan yang lebih stabil untuk jangka masa panjang.

“Penutupan tersebut penting untuk membolehkan Ranhill SAJ melaksanakan penyelenggaraan menyeluruh terhadap sistem pembekalan di loji berkenaan.

“Kita berharap kerja-kerja baik pulih ini akan memastikan bekalan air terawat yang dihasilkan loji itu kekal memenuhi piawaian ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN),” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Justeru, Ranhill SAJ meminta kerjasama semua pengguna yang untuk menyimpan air secukupnya sepanjang tempoh gangguan dan menggunakan air secara berhemah.

Pihaknya turut menyediakan lori tangki bagi memenuhi permintaan kecemasan daripada premis penting seperti hospital, pusat dialisis serta institusi yang memerlukan bekalan air berterusan.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan semasa, pengguna boleh melayari laman sesawang Ranhill SAJ menerusi www.ranhillsaj.com.my (http://www.ranhillsaj.com.my/) atau menghubungi 1800-88-7474 atau menerusi Facebook rasminya, Ranhill SAJ – Setitis yang bermakna. – Majestic

More From Author

Kemalangan: 3 termasuk 2 murid cedera

Lelaki mengamuk bawa gunting di MRT Sungai Buloh ditahan