Akaun palsu AI pamer wajah, suara Agong dikesan – RPO

KUALA LUMPUR: Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (RPO) mengesan akaun video palsu di laman sosial menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) memaparkan wajah dan suara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.

Menurut RPO, video berkenaan disebarkan menerusi platform Facebook dengan menampilkan suara Seri Paduka Baginda, kononnya berkaitan tawaran pelaburan menjanjikan keuntungan kepada orang ramai.

“Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan akaun-akaun palsu seperti ini yang sering digunakan oleh sindiket penipuan di Facebook serta platform media sosial lain,” kata hantaran itu.

RPO turut menegaskan bahawa penyamaran dan penyalahgunaan identiti adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terlibat, mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan,” katanya lagi. – Majestic

More From Author

BNM turunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus

Jambatan runtuh tiba-tiba, 10 maut terjunam dalam sungai