Abu Bakar angkat sumpah jawatan Presiden Mahkamah Rayuan, Azizah Nawawi Hakim Besar Sabah dan Sarawak

PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abu Bakar Jais, mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, hari ini.

Abu Bakar, 63, menggantikan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersara pada 3 Julai lalu.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan Kanan, Datuk P Ravinthran, di Dewan Persidangan, Istana Kehakiman di sini.

Turut mengangkat sumpah ialah Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azizah Nawawi, yang mencipta sejarah muncul wanita pertama dilantik sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, iaitu jawatan keempat tertinggi dalam Badan Kehakiman Malaysia.

Azizah, 63, berasal dari Sibu di Sarawak, menggantikan Tan Sri Abdul Rahman Sebli yang bersara pada 24 Julai lalu.

Beliau mengangkat sumpah jawatan di hadapan Hakim Dean Wayne Daly yang merupakan hakim paling kanan di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, enam Hakim Mahkamah Tinggi pula mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Hakim Mahkamah Rayuan, hari ini.

Mereka ialah Hakim Dr Shahnaz Sulaiman, Datin Paduka Evrol Mariette Peters, Ong Chee Kwan, Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid, Leonard David Shim dan Nadzarin Wok Nordin.

Selain itu, seramai 14 Pesuruhjaya Kehakiman disahkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.

Mereka ialah Hakim Maslinda @ Linda Mohd Ainal, Datuk Faridz Gohim Abdullah, Dr Choong Yeow Choy, Saiful Azian Mokhtar dan Evawani Farisyta Mohammad.

Seterusnya, S Indra Nehru, M Sumathi, Moses Susayan, Kan Weng Hin, Dr Wendy Ooi Su Ghee, Mohd Rosli Yusoff, Dr Hazlina Hussain, Roszianayati Ahmad dan Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Pelantikan semua hakim terbabit berkuat kuasa hari ini.

Ketua Hakim Negara yang baharu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, dan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, menyaksikan upacara angkat sumpah itu.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah bekas-bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Tun Md Raus Sharif dan Tun Arifin Zakaria, serta Presiden Badan Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab. – BERNAMA

More From Author

Himpunan pembangkang: Polis tahan 2 lelaki bawa, sebat patung mirip PM

Isu taska tak mahu ambil bayi dibawa kepada menteri – EXCO