Himpunan pembangkang: Polis tahan 2 lelaki bawa, sebat patung mirip PM

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki hari ini berhubung insiden peserta Himpunan Pembangkang yang membawa patung mirip Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menyebat patung itu ketika berhimpun kelmarin.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata insiden itu turut dirakam dan dimuat naik ke media sosial oleh pihak-pihak tertentu.

“Dua siri tangkapan dibuat ke atas dua lelaki warga tempatan berusia 21 tahun dan 47 tahun.

“Selain itu, peralatan komunikasi yang dipercayai digunakan untuk memuat naik dan menghantar maklumat berkaitan insiden terbabit turut dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, permohonan reman ke atas kedua-dua suspek berkenaan akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Katanya, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihati orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang berhemah dan tidak menggunakannya sebagai alat berkecenderungan menghasut sehingga boleh mencetuskan ketidakharmonian dan menjejaskan ketenteraman awam.

“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mengganggu ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya. – BH

More From Author

‘TikToker’ hilang nyawa kerana enggan berkahwin

Abu Bakar angkat sumpah jawatan Presiden Mahkamah Rayuan, Azizah Nawawi Hakim Besar Sabah dan Sarawak