Isu taska tak mahu ambil bayi dibawa kepada menteri – EXCO

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor membawa isu pengusaha taska di negeri itu yang enggan mengambil bayi berusia bawah 12 bulan ke Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari, berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan menteri berkaitan, Datuk Seri Nancy Shukri dalam masa terdekat untuk membincangkan isu berkenaan.

“Saya sedang dapatkan tarikh dari pegawai Menteri atau Timbalan Menteri untuk berbincang hal ini dan mungkin perjumpaan di Parlimen,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Pada 25 Julai lalu, Anfaal mendedahkan segelintir pengusaha taska dikatakan mula mewujudkan gerakan tidak mengambil bayi bawah 12 bulan di premis mereka susulan kerisauan pihak berkenaan terhadap kes-kes termasuk kematian akibat tersedak susu.

Malah, katanya, ada juga taska meletakkan syarat tambahan sehingga membebankan ibu bapa.

Katanya sehingga ini beliau menerima dua aduan berkaitan perkara itu daripada ibu bapa.

Beliau berkata, kegusaran pengusaha taska itu kemungkinan berpunca daripada nisbah semasa seorang pengasuh bagi tiga bayi, yang memerlukan penjagaan rapi bagi mengelakkan insiden itu dan tindakan pihak berkuasa. – BH

More From Author

Abu Bakar angkat sumpah jawatan Presiden Mahkamah Rayuan, Azizah Nawawi Hakim Besar Sabah dan Sarawak

Gabungan Slam & Exists memukau, bangkit nostalgia