Penghargaan luar biasa kepada rakyat diumum esok atau Rabu, kata Perdana Menteri

KUALA LUMPUR: Penghargaan luar biasa yang dirancang kerajaan kepada rakyat akan diumumkan pada esok atau Rabu.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, beliau memerlukan sedikit masa lagi untuk membuat pengumuman tersebut susulan pandangan dan keluhan yang ditimbulkan rakyat pada pemukiman Kerajaan Perpaduan di Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam.

Anwar berkata, pandangan yang disuarakan akar umbi agak sedikit berbeza dengan perancangan dilaksana kerajaan.

“Pemukiman itu tentang menjelaskan dasar-dasar kerajaan tetapi di samping itu juga mendengar pandangan dan keluhan masyarakat yang kemudian menuntut saya memikirkan apa perubahan serta pengumuman yang perlu untuk meredakan tuntutan ini.

“Kita telah fikirkan sebaik mungkin tetapi kadang-kadang pandangan di akar umbi itu sedikit berbeza. Seolah-olah disconnect (terputus).

“Sebahagian kerana dipolitik, sebahagian kerana penipuan tetapi sebahagian lagi kerana dirasakan sesungguhnya (berlaku).

“Saya sudah nyatakan dalam sehari dua ini, saya perlu buat pengumuman sama ada dalam bentuk langkah tambahan atau sebagainya, tetapi ia perlukan sedikit masa untuk diteliti dengan sebaiknya.

“Sebaiknya esok, kalau tak sempat esok (mungkin) rabu tetapi untuk hari ini sekurang-kurangnya kita bagi pandangan ekonomi makro iaitu keadaan sebenar negara,” katanya.

Esok, Perdana Menteri dijadual hadir ke Parlimen bagi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) iaitu sesi yang diperkenalkan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15, bermula 13 Februari 2023.

Sebelum ini, Perdana Menteri menarik perhatian ramai apabila memuat naik sebuah poster berwarna biru di laman Facebook rasmi beliau.

Poster tersebut memaparkan mesej “Penghargaan luar biasa untuk rakyat Malaysia” dengan kapsyen ringkas “Nantikan”, sekali gus mencetuskan tanda tanya serta pelbagai spekulasi dalam kalangan pengguna media sosial. – UTUSANTV

More From Author

Abai Zayn Rayyan: Ismanira diperintah bela diri, Zaim lepas dan bebas

Pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 dianjakkan sedikit – Fahmi