KUALA LUMPUR: Pemain warisan skuad Harimau Malaya, Hector Hevel mengakui datuknya berasal dari Melaka.
Hevel yang menyertai skuad kebangsaan pada Mac lalu menjelaskan dirinya mempunyai pertalian darah dengan negara ini menerusi datuknya.
“Ya, datuk saya berasal dari Melaka,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Terdahulu, teka teki asal usul beberapa tonggak negara menjadi pertikaian ramai pihak khususnya netizen di laman sosial yang mahukan maklumat sebenar pemain warisan didedahkan kepada umum.
Selain Hevel, latar belakang enam lagi pemain warisan baharu negara masih dirahsiakan termasuk Gabriel Palmero, Facundo Garces, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado dan Jon Irazabal.
Dalam perkembangan lain, pemain berusia 29 tahun itu mengakui bakal menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia musim depan.
“Ya, saya akan sertai JDT pada musim akan datang,” katanya lagi.
