KUALA LUMPUR: Sheila On 7 akan ke Malaysia untuk sebuah festival antara negara Indonesia dan Malaysia iaitu Latihan Pestapora yang kini dipindahkan ke lokasi baharu, Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Julai depan.
Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal berkata, Sheila On 7 bukan sekadar kumpulan muzik, mereka adalah sebahagian daripada kenangan dengan lagu-lagu yang menjadi anthem satu generasi.
“Kepulangan mereka ke Malaysia bukan hanya sebuah persembahan tetapi ia adalah detik yang bersejarah.
“Dengan Stadium Nasional sebagai lokasi baharu, kami bersedia untuk mengukir sejarah festival muzik di Malaysia,” katanya seperti dilapor UtusanTV.
Sementara itu, Pengarah Festival Pestapora & Pengasas Bersama Boss Creator, Kiki Ucup berkata, Pestapora adalah sambutan muzik dan usaha membawanya ke Malaysia adalah langkah yang tepat dan sangat bermakna.
“Dengan Sheila On 7, Nadin Amizah dan ALVN sebagai tambahan dalam lineup, kami berharap dapat mengukuhkan lagi hubungan antara dua negara dalam satu malam yang penuh jiwa, muzik, dan kenangan,” katanya lagi.
