Jumpa kali pertama, pelakon dipercayai terus lakukan amang seksual – Polis

KUALA LUMPUR: Siasatan polis terhadap pelakon dan penyanyi terkenal yang ditahan kerana disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan ketika kali pertama mereka berjumpa di sebuah hotel.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati suspek dan mangsa dipercayai berkenalan sejak dua bulan lalu.

“(Itu) kali pertama (suspek) bawa mangsa ke hotel, mereka sudah berkenalan dan berhubung dianggarkan dalam satu dua bulan… itu kali pertama mereka jumpa.

“Siasatan mendapati mangsa masih belajar. Suspek sudah ditangkap dan percakapan (suspek) sudah dirakam, buat masa ini (suspek) diberi jaminan polis.

“Kertas siasatan hampir lengkap dan kita akan rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Media sebelum ini melaporkan seorang pelakon dan penyanyi lelaki terkenal ditahan polis selepas didakwa melakukan amang seksual ke atas remaja perempuan di sebuah hotel di Selangor.

Mangsa berusia 17 tahun itu dikatakan berkenalan dengan artis terbabit di sebuah kafe tempatnya bekerja dan selepas beberapa kali pertemuan suspek kemudian membawa mangsa bertemu di sebuah hotel.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan turut mengesahkan perkara itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792).

More From Author

Saudi berjaya urus jemaah haji ke Arafah tanpa kesesakan ketara

‘Ya, datuk saya berasal dari Melaka’ – Hector Hevel