Under 18 X Klepet, angkat karya filem ke dalam komik

KUALA LUMPUR: Sempena dengan tayangan filem Klepet, syarikat produksi Respected Citizen akan bekerjasama dengan Kadokawa Gempak Starz bagi menerbitkan komik edisi terhad Exclusive Box, Under 18 x Klepet.

Kerjasama itu dilakukan secara rasmi pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kadokawa Gempak Starz, Chris Yew berkata, sebanyak 5,000 unit kotak eksklusif telah diterbitkan.

“Kerjasama ini sebagai satu penghargaan kerana dapat mengangkat karya filem tempatan ke dalam bentuk komik.

“Ini juga merupakan projek pertama Gempak Starz bersama sebuah filem Melayu, setelah sebelum ini menghasilkan komik untuk filem berbahasa Cina terbitan Astro.

“Idea ini sangat menarik dan kami berasa bertuah kerana dipilih oleh Respected Citizen. Kami melihat Klepet sangat serasi dengan konsep Under 18, jadi kami tidak teragak-agak untuk menjayakan projek ini.

“Harapan kami agar lebih banyak kerjasama seumpama ini dapat direalisasikan pada masa akan datang,” katanya seperti dilapor URTV.

Komik edisi khas itu dihasilkan oleh pelukis terkenal Zint Lu, dan berfungsi sebagai prekuel kepada naratif utama filem Klepet.

Walaupun membawa jalan cerita yang berbeza, komik dan filem ini berkongsi watak-watak utama yang sama.

Penerbit filem Klepet yang mewakili Respected Citizen, Aeril Zafrel berkata, kerjasama ini diyakini mampu menambah daya tarikan terhadap filem tersebut yang bakal menemui penonton tahun ini.

More From Author

Fernandes tolak tawaran lumayan RM1.15 bilion Al Hilal

Suami kelar isteri, cuba bakar kereta, motosikal, rumah mentua