Tersenyum selepas dituduh bunuh isteri

TANGKAK: Seorang suami kelihatan tersenyum selepas didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya dengan mengelar leher mangsa di Taman Cahaya, Bukit Gambir, dekat sini, minggu lalu. 

Malah, Mohamad Khairul Azmi Ithnin, 33, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Lee Kim Kiat.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh isterinya, Iecah Junus, 33, antara pukul 3.30 petang hingga 5.30 petang pada 2 Jun lalu di Taman Cahaya, Bukit Gambir.

Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Sapian, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan 8 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan laporan keputusan ujian patologi dan asid deoksiribonukleik (DNA).

Terdahulu, suspek tiba di pekaranqgan mahkamah pada pukul 8.30 pagi dengan memakai baju lokap berwarna ungu dan dikawal ketat anggota polis.

Suspek dilihat tersenyum ketika dibawa keluar dari mahkamah sebelum dibawa masuk ke dalam sebuah kenderaan lain menuju ke Mahkamah Sesyen Muar bagi berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, iaitu melakukan khianat dengan api.

Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Roslan Mohd. Talib memberitahu, tertuduh juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Muar hari ini kerana melakukan khianat dengan api dengan membakar sembilan buah kenderaan di pekarangan rumah mentuanya di Kampung Durian Chondong, di sini, 3 Jun lalu. – MN

More From Author

Peniaga martabak jual rumah demi capai impian 25 tahun jadi tetamu Allah

Lukisan abstrak Danya Adriana serlahkan budaya dan warisan Melayu