Lukisan abstrak Danya Adriana serlahkan budaya dan warisan Melayu

SEMENYIH: Ketika ramai remaja seusianya sibuk mengejar dunia digital dan hiburan moden, seorang pelajar sekolah menengah dari Kajang memilih kanvas dan warna sebagai cara mengekspresi diri dan meneroka warisan budaya.

Danya Adriana Feri Pito Manda, 17, kini semakin dikenali dalam kalangan penggiat seni tempatan sebagai pelukis muda yang mengetengahkan karya abstrak berinspirasikan elemen budaya Melayu – satu pendekatan segar yang menggabungkan unsur warisan dengan teknik moden.

Minat terhadap seni, menurut Danya Adriana mula dipupuk sejak kecil dan berkembang secara aktif ketika berusia 12 tahun selepas menyertai pelbagai pertandingan serta bengkel seni.

“Keluarga, terutamanya ibu, banyak memberi sokongan untuk saya terus mendalami bidang seni sejak kecil. Sokongan tanpa jemu inilah yang menjadi dorongan utama untuk saya terus berkarya sehingga ke hari ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di sini, baru-baru ini.

Berbeza dengan gaya lukisan konvensional, Danya Adriana memilih pendekatan abstrak sebagai medium utamanya – dengan bermain tekstur, lapisan dan warna-warna alam semula jadi seperti biru dan hijau yang sering mendominasi karya-karyanya.

Bagi anak kedua daripada tiga beradik ini, gaya abstrak memberikan kebebasan untuk meluahkan emosi dan idea tanpa terikat dengan bentuk realistik dengan setiap karya yang dihasilkan turut diselitkan motif seni warisan Melayu seperti corak batik, wau dan elemen seni bina tradisional.

“Saya sangat berminat dengan corak tradisional Melayu seperti pada wau dan batik, selain seni bina tradisional yang mempesona serta flora dan fauna tempatan yang kaya dengan nilai budaya.

“Semua itu saya terapkan dalam karya menerusi pendekatan abstrak moden, ditambah dengan penggunaan warna biru dan hijau sebagai pilihan utama. Warna ini memberi ketenangan dan membangkitkan rasa keakraban dengan alam,” jelasnya.

Meskipun belum mendapat pendidikan formal dalam seni, pelajar Sekolah Menengah Khir Johari ini tidak menjadikan hal itu sebagai kekangan untuk berkarya secara serius, terutama persepsi segelintir masyarakat terhadap artis muda.

Enggan memikirkan perkara negatif yang boleh membantutkan minat dalam berkarya, bakat dan hasil seni Danya Adriana telah diperakui banyak pihak terutama sejak bernaung di bawah Galeri Art Market Malaysia lima tahun lepas yang bertindak sebagai platform memperkenalkan bakat baharu kepada khalayak lebih luas.

Antara pencapaian terbesar Danya Adriana apabila dilamar oleh pihak korporat seperti YTL Group dan Marriott International pada tahun lepas dan diberi tanggungjawab menghasilkan tiga karya berskala besar untuk ruang dalaman Moxy Hotel Kuala Lumpur Chinatown yang dirasmikan pada April lepas.

Selain itu, hasil seninya juga dipamerkan di beberapa cawangan Hospital Aurelius di Nilai, Pahang dan Kedah, malah turut dimiliki oleh bekas Timbalan Menteri Pelancongan Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Sangat mengagumi pelukis terkenal seperti Salvador Dali dan Yusuf Gajah, dia yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini bercita-cita membuka studio seni sendiri yang bukan sahaja menjadi ruang berkarya, tetapi juga pusat komuniti bagi mereka yang berminat dalam bidang seni.

“Studio ini akan menjadi platform untuk pelbagai program pendidikan supaya orang ramai dapat mendalami bidang seni dengan lebih serius. Saya juga ingin menggabungkan seni dengan bidang ekonomi dan perniagaan agar artis muda masa depan lebih berdikari dan profesional,” katanya.

Ternyata, dengan semangat dan visi yang jelas seperti Danya Adriana, dia bukan sahaja mewarnai dunia seni dengan karya-karyanya, tetapi turut membuka jalan untuk generasi baharu melihat seni sebagai satu bidang yang bernilai, profesional dan berpengaruh dalam membentuk masyarakat yang lebih kreatif dan peka budaya. – BERNAMA

More From Author

Tersenyum selepas dituduh bunuh isteri

Honda tarik balik 87,490 kenderaan, ganti pam bahan api