ISKANDAR PUTERI: Lebih 800 pelajar dari tujuh negara ASEAN menyertai Pertandingan Robotik Remaja Antarabangsa (IYRC) ASEAN 2025 di Kompleks Sukan EduCity, di sini.
Pertandingan tiga hari yang bemula kelmarin itu turut menjadi platform yang menghimpunkan bakat muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dari seluruh rantau ini.

Majlis perasmian disempurnakan Datuk Bandar Iskandar Puteri, Ahmad Nazir Mohd. Nasir yang mewakili Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
IYRC ASEAN 2025 yang bertemakan ‘Tenaga Hijau’ bukan sekadar pertandingan, malah merupakan medanmencetuskan imaginasi, memupuk semangat kerjasama dan membentuk masa depan serantau menerusi kreativiti dan inovasi.
Pertandingan itu mencabar para peserta membangunkan penyelesaian robotikyang menyokong penggunaan tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga dan kelestarian alam sekitar.

Pengerusi Penganjur IYRC ASEAN 2025, Olivia Ooi berkata, IYRC bukan sekadar pertandingan robotik
“Ia adalah satu perjalanan penemuan yang menyatukan pendidikan, inovasi, keseronokan, pengembaraan dan pertukaran budaya menjadi sebuah pengalaman yang bermakna.

“Kita juga sedang membentuk warganegara global masa hadapan. Komitmen padu terhadap pembangunan belia dan inovasi menjadi pemangkin utama dalam inisiatif ini,” katanya.
IYRC ASEAN 2025 menjadi bukti kesungguhan ASEAN untuk memperkukuhkan kerjasama rentas sempadan, mempertingkat kesiapsiagaan digital dan melabur dalam pembangunan generasi pelapis yang berpotensi tinggi.

Pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Johor, para penaja, pendidik serta ibu bapa atas sokongan berterusan dalam menjayakan program tersebut.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dan Pengarah Tourism Johor, Mohammad Nazrul Abd. Rahim.
