Laung Allahuakhbar, suspek kelar isteri kelihatan gelisah

TANGKAK: Suspek yang ditahan kerana disyaki mengelar sehingga mati isterinya di Taman Cahaya, Bukit Gambir, dekat sini kelmarin berulang kali melaungkan kalimah ‘Allahuakbar’ ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak bagi permohonan perintah reman pagi ini.

Suspek berusia 33 tahun itu tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 8.25 pagi dengan  diiringi anggota polis.

Ketika dalam lokap mahkamah, suspek turut berkali-kali melaungkan kalimah Allahuakhbar, beristighfar dan mengucapkan syahadah, seakan-akan menyesali perbuatannya.

Dia yang memakai pakaian lokap berwarna ungu turut menjerit-jerit dalam keadaan gelisah.

Majistret, Lee Kim Keat membenarkan suspek dltahan selamat tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 kanun sama, iaitu melakukan khianat dengan api.

Malam tadi Utusan Malaysia melaporkan Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd. Talib ketika dihubungi mengesahkan seorang lelaki ditahan kerana disyaki mengelar isterinya sehingga mati di sebuah rumah di Taman Cahaya, Bukit Gambir, kira-kira pukul 3 petang kelmarin.

Difahamkan selepas itu suspek pergi ke rumah ibu mentuanya di Kebun Baru, Pagoh dan cuba membakar kediaman keluarga tersebut, tetapi hanya menyebabkan kerosakan beberapa kenderaan. – MN

More From Author

Suami kelar isteri, cuba bakar kereta, motosikal, rumah mentua

‘Tengok memang tak lalu, tapi isi daging sedap masak rendang’